Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pengajarannya Buat Kita Semua



Novel Coronavirus 2019 atau lebih dikenali sebagai COVID-19 adalah sejenis virus daripada keluarga Coronavirus (CoV) yang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan manusia. Ditemui di wilayah Hubei iaitu ibu negeri Wuhan, China, ia telah merebak dan menjangkiti hampir seluruh populasi manusia di seluruh dunia. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) pada 11 Mac 2020 yang lalu juga telah mengisytiharkan COVID-19 ini sebagai pandemik. Sehingga 4 Mei 2020, menurut data yang dikeluarkan oleh Johns Hopkins University menunjukkan kes positif COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan hampir 3.5 juta orang dijangkiti dan Malaysia adalah salah satu daripadanya. COVID-19 ini disebarkan melalui kontak rapat seperti melalui sentuhan tangan, pernafasan melalui hidung dan mulut. 

Covid-19 | New Scientist

Pihak Kerajaan Malaysia melalui Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan bahawa Malaysia akan mengenakan dan mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac di seluruh negara, selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) bagi memulihkan dan mengekang penularan COVID-19. Sehingga 9 Mei 2020, kita telah memasuki fasa PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Fasa Lima (PKP5) yang dijadualkan sehingga 12 Mei 2020 nanti. Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini, sudah tentu banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diambil sesama kita sebagai warganegara.

PKP ini semestinya telah mengajar kita rakyat Malaysia akan peri pentingnya sistem dan institusi perkhidmatan kesihatan awam yang berfungsi dengan baik, lengkap dan menyeluruh buat rakyatnya. Tatkala negara seperti Itali dan Amerika Syarikat sedang bergelut berhadapan dengan isu dan masalah di dalam perkhidmatan kesihatan mereka, dimana kelengkapan dan peralatan hospital yang tidak mencukupi serta kegagalan perancangan dan ketelitian pihak kerajaan mereka dalam memainkan peranan yang sewajarnya dalam membela nasib rakyat mereka, rakyat negara ini  amat bertuah kerana negara ini mempunyai kepimpinan dan perancangan yang begitu teliti, sumber tenaga kerja yang efisien, kemudahan dan fasiliti di hospital yang mencukupi seperti ruang katil dan penyediaan pusat kuarantin yang selasa, bekalan ubat-ubatan, peralatan perlindungan diri atau Personal Protective Equipment (PPE) dan makmal-makmal ujian yang cukup dan diiktiraf dunia.

Keberkesanan dan kecekapan pihak Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengendalikan pengurusan kesihatan awam dalam mendepani krisis wabak COVID-19 ini haruslah dipuji. Antaranya dengan menjalankan ujian swab saringan COVID-19 dengan pantas dan efektif di seluruh negara, pengecaman dan mengenal pasti kluster-kluster COVID-19, menambahbaik kemudahan-kemudahan fasiliti perubatan dan kesihatan di hospital seperti pembelian mesin alat bantuan pernafasan atau ventilator di Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkatkan kesedaran orang awam mengenai jangkitan virus COVID-19 ini melalui media sosial dan media cetak dan sebagainya. Hospital-hospital juga telah memainkan peranan penting sebagai institusi yang merawat pesakit-pesakit yang dijangkiti positif COVID-19 ini. Hospital Sungai Buloh, Selangor sebagai contoh juga telah diwartakan sebagai hospital khusus bagi rawatan berjangkit. Keberkesanan sistem kesihatan dan perubatan dapat dilihat apabila kini, Malaysia sedang memasuki fasa pemulihan jangkitan, dimana jumlah kes pulih individu yang dijangkiti COVID-19 sudah mengatasi kes baharu. Perkara ini turut disokong oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan bahawa dengan hasil pelaksanaan PKP ini, lengok pada graf jangkitan COVID-19 sudah dapat diratakan. Sekiranya pelaksanaan PKP tidak dilaksanakan, kita bakal berhadapan bencana wabak pandemik ini dengan lebih teruk dan tidak dapat dibayangkan.


Kita juga sedar bahawa fungsi dan peranan penting yang telah dimainkan oleh barisan hadapan atau front liner dalam memastikan perang terhadap COVID-19 ini benar-benar berjaya. Peranan pakar kesihatan, doktor, jururawat, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia bersama bantuan pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Negara (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam dalam memastikan kepatuhan rakyat terhadap PKP ini amatlah dipuji. Rakyat Malaysia harus sedar bahawa mereka inilah adalah golongan pertama yang berisiko tinggi untuk terdedah kepada jangkitan COVID-19. Sekiranya tiada keberkesanan tindakan daripada pihak mereka, mungkin kita akan menyaksikan pertambahan jumlah pesakit positif COVID-19 semakin meningkat dan tidak dapat dikawal sekaligus objektif PKP tidak akan tercapai.


Kita juga faham akan kepentingan undang-undang dan penguatkuasaanya kepada rakyat. Undang-undang telah memainkan peranannya dalam membentuk dan mendidik masyarakat supaya patuh dan menghormati kedaulatannya. PKP merupakan pengawalan masyarakat yang berpandukan kepada prinsip dan lunas undang-undang, iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344).  Sepanjang PKP berkuatkuasa, pada peringkat awalnya, denda kompaun yang tinggi dan maksimum telah dikenakan, iaitu sebanyak RM1,000 sebagai pilihan utama bagi individu yang dengan sengaja mengingkari PKP ini. Namun pihak kerajaan telah meningkatkan hukuman dengan mengambil tindakan tegas dengan menangkap dan menuduh kesemua pesalah PKP di mahkamah dan kertas siasatan telah dibuka. Hal ini ekoran sikap ambil remeh dan sambil lewa masyarakat terhadap PKP ini. Tujuan tindakan tegas ini adalah bagi mendidik segenap lapisan masyarakat untuk mematuhi undang-undang dan sekaligus memutuskan rantaian COVID-19 secepat mungkin. Namun sehingga kini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kadar pematuhan rakyat negara ini terhadap PKP adalah tinggi dan semakin berkesan kerana sebahagian besar daripada kita telah memahami dengan jelas tujuan perintah ini dikuatkuasakan adalah untuk menangani pandemik di Malaysia dan bukan bertujuan untuk membebankan lagi kehidupan rakyat atau apatah pula menidakkan hak asasi manusia.

Rakyat Malaysia juga semakin peka serta ambil tahu mengenai peri pentingnya penjagaan kesihatan diri sendiri dengan lebih terperinci. Jika sebelum ini, kita mengambil sikap alpa dan sambil lewa akan penjagaan ini, hikmah wabak COVID-19 telah menyedarkan kita daripada sikap demikian. Hasil daripada inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah dengan giatnya, menghebahkan dan mendidik masyarakat mengenai cara dan rutin yang betul untuk mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer. Selain itu, ramai juga rakyat kita yang kreatif telah membuat cabaran mencuci tangan di aplikasi media sosial seperti TikTok dan sebagainya turut membantu menanamkan lagi kesedaran. Penjualan cecair pembasmi kuman juga dilihat laku keras seperti goreng pisang panas apabila ia laris di jual di pasaran sehingga kehabisan bekalan stok. Turut menerima tempias yang sama, penjualan topeng muka atau face mask jenis 3PLY/pembedahan yang dapat membantu mencegah wabak ini yang dibawa melalui titisan cecair dari mulut atau hidung sekaligus mengurangkan risiko jangkitan virus daripada memasuki tubuh badan. Amalan-amalan etika cuci tangan dan pemakaian topeng muka hendaklah terus diamalkan oleh rakyat negara ini.

Warga Malaysia juga harus segera menyesuaikan diri dan mengadaptasi dengan norma baharu pasca PKP ini. Hal ini kerana corak kehidupan kita telah berubah daripada kelazimannya dan kita perlu melakukan perkata-perkara yang tidak popular sebelum ini. Sudah pasti bukan kita sahaja yang perlu melalui perubahan ini, satu dunia juga melakukan perkara yang sama kerana kita perlu belajar untuk hidup bersama virus COVID-19 sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun 2020 ini. Tidak bersalaman apabila bertemu, penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain dan tidak melibatkan diri dengan perhimpunan atau aktiviti yang melibatkan berkumpulnya orang ramai haruslah sentiasa dipatuhi oleh rakyat negara ini.  Etika batuk (cough etiquette) yang baik iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu atau pelapik apabila batuk mahu pun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta seharusnya kekal diamalkan. Banyak juga perkara dan aktiviti-aktiviti yang kita gemar lakukan seperti melancong ke luar negara, penganjuran pasar tani dan pasar minggu, panggung wayang dan sebagainya, terpaksa ditangguhkan dan diadaptasi bersesuaian dengan cara hidup baharu ini.

Perubahan sistem dan etika kerja dengan penekanan kerja dari rumah / “Work From Home” juga telah menjadi satu norma baharu pasca PKP ini. Tidak kira sama ada sektor kerajaan mahupun swasta, ia perlulah menjadi satu kelaziman daripada amalan yang dahulu. Perancangan dan strategi perlu direncana secara bersama oleh pihak majikan dan pekerja agar tuntutan tugas dapat dilaksanakan sebaiknya. Sebagai contoh penggiliran bertugas di pejabat dan menjalankan mesyuarat secara alam maya seperti melalui aplikasi Zoom atau Google Meeting. Banyak peluang pekerjaan yang berteraskan atas talian juga pada masa akan datang dapat diwujudkan. Ppengetahuan serta skil dalam bidang internet adalah satu pelaburan yang amat berbaloi buat kita semua. Peralihan kepada platform digital dan atas talian kini seperti webinar, e-commerce, e-wallet dan e-learning telah menjadi pilihan utama kebanyakkan pihak. Sekaligus ia dapat menjimatkan kos operasi pihak majikan dimana konsep pejabat maya atau virtual office juga dapat direalisasikan. Sejauh mana keberkesanan idea dan konsep ini, hanyalah dapat ditentukan dengan sikap dan disiplin yang tinggi yang perlu diterapkan dalam diri kita semua.

Tambahan pula, PKP ini juga turut menyedarkan kita akan peluang untuk menambahbaik dan menaiktaraf rangkaian teknologi dan kehidupan digital diseluruh negara. Perkara ini sekaligus dapat merealisasikan aspirasi rangkaian teknologi generasi kelima atau 5th generation yang lebih dikenali 5G dan juga Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang telah direncanakan. Kita dapat lihat sepanjang tempoh PKP ini, aliran trafik penggunaan data internet di Malaysia telah meningkat dengan ketara sekali dan ia telah memberi kesan kepada kelajuan internet di seluruh negara. Hal ini disebabkan ramai pengguna menggunakan rangkaian di sesuatu kawasan yang sama untuk menjalankan kebanyakan aktiviti mereka di rumah masing-masing. Banyak mesyuarat, seminar dan sesi pengajaran serta pembelajaran (PdP) telah dibuat secara alam maya dan atas talian oleh pihak syarikat, institusi pengajian awam, sekolah dan sebagainya, menggunakan aplikasi seperti Google Classroom, Microsoft Teams, Zoom dan banyak lagi. Selain itu juga, banyak aplikasi-aplikasi di telefon bimbit telah dibina dan dimuat turun bagi memudahkan urusan seharian dan penyaluran maklumat kepada rakyat dengan tepat dan cepat. Contohnya Group Telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk penyaluran maklumat terkini status PKP dan pelaksanaanya serta status terkini COVID-19 di dalam negara. Aplikasi MySejahtera dibangunkan bagi membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara, manakala aplikasi Gerak Malaysia telah dapat membantu pihak Polis Diraja Malaysia dan pengguna untuk kelulusan perjalanan rentas negeri menerusi Kod Respon Pantas atau 'Quick Response Code' (Kod QR) sepanjang tempoh PKP ini berkuatkuasa. Warga kita telah didedahkan dengan teknologi dan kehidupan digital bagi memudahkan pelaksanakan tugas seharian atau melakukan pembelajaran dan kita perlu untuk belajar jika tidak mahir menggunakannya. Pelaksanaan teknologi digital ini juga akan memberikan negara kita untuk mengaplikasikan Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dengan lebih baik dan sekaligus membuka peluang kepada industri-industri baru pada masa akan datang. 



Akhir sekali, tempoh pelaksanaan PKP ini juga telah membuka mata dan meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab sosial kita terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Naluri kemanusiaan kita telah diuji dan dinilai sejauh mana kepekaan dan prihatin kita terhadap pihak-pihak yang memerlukan. Pelaksanaan PKP ini tidak dinafikan telah menjejaskan sektor ekonomi negara dimana negara kita mengalami kerugian sebanyak lebih kurang RM2.4 billion setiap hari. Banyak industri-industri ekonomi seperti sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), makanan dan minuman, pembinaan dan pembuatan, pelancongan dan perhotelan, serta perkhidmatan terjejas. Malah ramai di antara kita yang hilang sumber kewangan dan pendapatan kerana dibuang kerja dan dipotong atau tidak dibayar gajinya. Kita lihat bagaimana bantuan kebajikan dan keperluan asas oleh badan organisasi bukan kerajaan NGO, sektor korporat, majlis agama Islam negeri-negeri dan individu perseorangan begitu giat dalam membantu golongan yang memerlukan seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal dan pekerja upahan harian. Dengan situasi yang tidak menentu ini juga, adalah perlu untuk kita mengubah gaya hidup dengan mengaplikasi langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah. Kesedaran mengenai simpanan kewangan yang mencukupi juga perlu diterapkan dan hanya berbelanja perkara yang penting dan perlu sahaja buat masa ini.

Akhir kalam, bencana COVID-19 ini semamangnya memberikan iktibar dan pengajaran berharga buat kita semua. Tidak dinafikan kesan implikasi pelaksanaan PKP sedikit sebanyak memberikan kesan kepada negara, namun ia lebih banyak membawa kebaikan kepada kita jika dilihat dari sudut positif. Kerjasama seluruh warga Malaysia dalam sama-sama mengembleng usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 sehinggalah ia berjaya adalah amat diperlukan buat masa ini. Kita haruslah sama-sama berjuang dan sanggup mengorbankan kepentingan dan kehendak diri sendiri demi masa hadapan yang kembali cerah dan kembali normal seperti sediakala. Moga ada sinar di hari esok sebagai hari kemenangan buat kita semua.

Comments

Popular Posts