Rundingan Terus / "Direct Negotiation"oleh Kerajaan

 


Pendedahan penganugerahan 101 projek secara rundingan terus oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19 2020) mendedahkan perkara telah menarik perhatian ramai pihak. Jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM6.61 bilion.

Ramai yang tidak faham apakah itu rundingan terus / "direct negotiation" yang telah dimaksudkan oleh Menteri Kewangan tersebut. Adakah bermaksud pihak syarikat/kontraktor yang dilantik adalah pihak yang sudah biasa berurusan dengan Kerajaan aau agensinya? Atau mempunyai hubungan baik / orang dalam?

Sebelum kita menghurai apakah itu rundingan terus, adalah baik untuk memahami apakah itu perolehan Kerajaan?

Definisi

Perolehan Kerajaan adalah urusniaga pembelian oleh pihak Kerajaan bagi sesuatu bekalan, perkhidmatan atau kerja.

  • Bekalan bermaksud perolehan bekalan merangkumi barangan/peralatan yang dibekalkan bagi menjalankan sesuatu program, aktiviti atau projek Kerajaan seperti makanan, pakaian, kenderaan dan kelengkapan pejabat
  • Perkhidmatan pula bermaksud khidmat tenaga manusia atau kepakaran untuk melaksanakan dan menyiapkan sesuatu projek tertentu. Ia terbahagai kepada dua, iaitu Perkhidmatan Perunding dan Bukan Perunding.
    • Perkhidmatan Perunding meliputi bidang-bidang seperti perunding pembangunan fizikal dan bukan fizikal.
    • Perkhidmatan Bukan Perunding seperti pengendalian kursus dan latihan, penyenggaraan dan pembaikan, pencucian dan pembersihan, penyewaan dan pengurusan bangunan, pengiklanan, pengangkutan dan sebagainya.





  • Kerja pula melibatkan kerja-kerja pembinaan seperti bangunan, lapangan terbang, pelabuhan, jalan raya, tapak kawasan, serta juga merangkumi kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
Manakala Rundingan Terus bermaksud satu proses lantikan pihak kontraktor/syarikat bagi bekalan/ perkhidmatan (bukan perunding) / kerja, tanpa melalui Tatacara perolehan Kerajaan tersebut.

Oleh kerana ia melibatkan pembelian, maka sejumlah wang akan diperlukan dan diguna bagi mendapatkan kerja/perkhidmatan yang diperlukan oleh Kerajaan. Wang ini, antara salah satunya diperoleh daripada duit pembayar-pembayar cukai, iaitu kita semua. Maka atas dasar inilah, nilai-nilai accountability dan integrity amat dititik beratkan bagi pengurusan dan tatacara perolehan ini.

No alt text provided for this image

Oleh demikian, boleh atau tidak rundingan terus / "direct negotiation" ini dilaksanakan?

Punca Kuasa

No alt text provided for this image

Terdapat beberapa punca kuasa bagi urusan perolehan ini, antaranya:

  • Akta Kontrak Kerajaan 1949

Memberi kuasa kepada Menteri / menurunkan kuasa kepada penjawat awam berkaitan untuk mengikat kontrak

  • Akta Tatacara Kewangan 1957

Mengawal dan mengelola penggunaan dan perbelanjaan wang awam Malaysia, juga termasuk bagi acara pengakaunan serta kewangan, termasuk acara bagi pemungutan, penjagaan dan pembayaran wang awam Persekutuan dan negeri-negeri dan pembelian, penjagaan dan pelupusan harta awam dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya”.  

  • Pekeliling Perbendaharaan berkuatkuasa (1PP) dan Surat Pekeliling Perbendaharaan berkuatkuasa

Menggariskan dasar, tatacara, peraturan dan prosedur berkaitan pengurusan kewangan dan prosedur akaun termasuk mengenai hal-hal berkaitan perolehan 

  • Arahan Perbendaharaan

Perincian prosedur kewangan dan akaun dalam mengurus dana Kerajaan

Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957, membenarkan perolehan menerusi rundingan terus adalah dibenarkan. Oleh demikian, ia bukan menjadi satu kesalahan sekiranya Kerajaan ingin melaksanakan rundingan terus ini.

Namun demikian, Tatacaranya dan Garis Panduan bagi Rundingan Terus ini telah jelas dinyatakan di dalam Perolehan Kerajaan (PK) 7.15 yang membenarkan bagi keadaan-keadaan berikut:

  1. Keperluan mendesak (memudaratkan atau menjejaskan perkhidmatan);
  2. Bagi maksud penyeragaman;
  3. Satu punca bekalan atau perkhidmatan(pembuat atau pemegang francais);
  4. Melibatkan keselamatan atau strategi; atau
  5. Kontrak dengan syarikat pembuat Bumiputera

dan ia perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan perlu mengikut dan melaksanakan Rundingan Harga sebagaiaman di PK 7.16.

Namun pada 15 Julai 2019, pindaan telah dibuat pada PK7.15 dan PK7.16 (dahulunya adalah PK7.13 dan PK7.14)  dimana perlantikan syarikat/kontraktor secara rundingan terus ini adalah tidak digalakkan kerana selaras dengan prinsip perolehan, setiap agensi Kerajaan hendaklah merancang perolehan dan mempelawa sebut harga/tender melalui persaingan terbuka bagi mendapatkan nilai faedah terbaik / "best value for money" kepada Kerajaan.

No alt text provided for this image

Pihak Kementerian Kewangan juga telah mengeluarkan Surat Pekeliling S/K.KEW/PK/MOF/D/00 JLD.10 SK.6 (14 ) bertarikh 29 Jun 2018 yang tidak membenarkan Rundingan Terus dilaksanakan oleh Kerajaan dan penambahbaikan terhadap tadbir urus dan pelaksanaan perolehan Kerajaan.

Kesimpulan

Rundingan terus / "direct negotiation" bukanlah sesuatu yang baru dilaksanakan oleh Kerajaan dan ia adalah adalah an exception to the general rule bagi tatacara perolehan Kerajaan tersebut. Dari tahun ke tahun, penambahbaikan telah sentiasa dilakukan agar urus tadbir dan pentadbiran Kerajaan dapat dijalankan sebaiknya, seterusnya rakyat yang akan mendapat manfaat dan faedah daripadanya. Akan tetapi, isu-isu integriti dan kronisme tidak dapat tidak, perlu ditangani dengan efektif dan berkesan agar Kerajaan sentiasa mendapat perkhidmatan / kerja yang sebaik-baiknya, kerana at the end of the day, it is the tax payers money that being concerned about.

Comments

Popular Posts